ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BIDAYUH: ADAT PINGIRIH

PENGENALAN
Pingirih adalah budaya muafakat saling bantu membantu yang unik. Aktivitinya merangkumi berkaitan pembinaan rumah dan kerja-kerja pertanian seperti mengusaha tanaman padi, lada, koko dan getah.
KONSEP PINGIRIH
Apabila sesebuah keluarga mahu toban pingirih (menganjurkan pingirih), ada ahli dalam komuniti berkenaan akan odi ngirih (mengirih, yakni datang menyumbangkan tenaganya melakukan aktiviti yang ditentukan penganjur pingirih), dan ada yang akan odi rapas pingirih (membalas pengirih).
Pingirih dikira berdasarkan bilangan hari seseorang menyumbangkan tenaganya. Namun, atas permintaan si mengirih, suatu pingirih boleh juga dibalas dengan keperluan dapur seperti beras, garam dan belacan. Keluwesan ini memberi peluang kepada penduduk untuk saling membantu saudara mara dan rakan-rakan. Seandainya sesuatu pingirih tidak sempat dibalas maka ia dikenang sebagai jasa ikhlas.
Pingirih boleh dilaksana dalam kalangan penduduk sekampung atau antara berlainan kampung. Mereka sering pingirih-birumiek (saling berpingirih), misalnya pingirih ngutuom (menuai padi) dengan harapan untuk mendapat hasil tuaian yang maksimum. Aktiviti rapas pingirih tidak semestinya sama dengan aktiviti semasa odi ngirih, bergantung kepada keadaan dan kehendak rapas pingirih. Maknanya seseorang boleh mengirih orang yang mahir dalam sesuatu bidang dengan harapan mendapat khidmat kepakarannya.
PENGIRIH MENANAM PADI
Aktiviti ini terbahagi kepada enam peringkat, iaitu nou (menebas), nobong (menebang), ngokas (membakar kayu), nuruk (menanam), nyobu (merumput), dan ngutuom (menuai).
PESERTA PINGIRIH
Individu yang belum berumur 18 tahun tetapi menunjukkan hasil kerja yang hampir sama dengan orang dewasa layak menyertai aktiviti pingirih. Amnya, tanpa mengira jantina orang kampung yang mampu bekerja adalah layak terlibat sebagai peserta pingirih.
Odi ngirih (pergi ngirih) dan rapas pingirih (membalas pingirih) adalah urusan keluarga masing-masing, yakni ahli rapas pingirih tidak ditetapkan tahapnya dengan odi ngirih. Namun, lazimnya pingirih dibalas secara setara, misalnya pingirih lelaki paling sesuai dibalas oleh lelaki, dan begitulah seterusnya.