ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BIDAYUH: SUKU SELAKO: ADAT NGONCONG

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BIDAYUH: SUKU SELAKO: ADAT NGONCONG

PENGENALAN

Suku Selako yang berasal dari Borneo terdapat di kawasan Lundu, Sematan, Bengkayang dan Sambas. Ngoncong adalah kaedah perubatan yang dipercayai amat berkesan mengubati penyakit pelik yang berkaitan dengan makhluk halus dan ilmu hitam.

PELAKSANAAN

Upacara ini mempunyai beberapa peringkat dan biasanya dilakukan di rumah pesakit. Ia duduk atau berbaring di tengah rumah. Para hadirin duduk dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menganggu perjalanan upacara. Peralatan muzik seperti biola, gong dan rebana dimainkan seketika.

Pengoncong memulakan bacaan mantera yang menyeru semangat atau roh tertentu membantunya mencari semangat si pesakit yang dipercayai terpisah dari tubuhnya. Pengoncong bertindak sebagai pengantara antara pesakit dan roh tersebut. Kemudian si pengoncong tidak sedarkan diri dan dalam keadaan sebeginilah ia mendapatkan semangat si pesakit yang terpisah dari dirinya. Si pengoncong merasa lemah dan tidak berupaya untuk berdiri. Justeru, ia memerlukan penolong dipanggil si penadek.

Si penadek membantu pengoncong pergi kepada si pesakit di tengah ruang tamu. Pada masa itu tangan si pengoncong digenggam erat, dipercayai mengandungi semangat si pesakit. Si pengoncong memasukkan semula semangat pesakit ke badannya melalui telinga si pesakit dengan cara meletakkan tangannya yang tergenggam.

Selesai upacara ini kini giliran si pengoncong pula untuk disedarkan semula dengan bantuan si penadek yang memerlukan bahan-bahan seperti air tawar dan mayang pinang. Si penadek menepuk muka si pengoncong menggunakan mayang pinang yang dicelupkan ke dalam air tawar. Upacara ini selesai sebaik sahaja si pengoncong sedar.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak

Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga, 93300 Kuching, Sarawak
Tel : 082-422006 / 082-423106
Fax : 082-244394