ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM IBAN: ADAT MIRING

PENGENALAN
Kaum Iban adalah lebihkurang 29% daripada penduduk Sarawak, tinggal dalam sekitar 5,000 rumah panjang di pedalaman Sri Aman, Betong, Kapit, Song, Bintulu, Sibu dan hampir sepanjang Sungai Rajang.
Adat Miring bertujuan memberkati penduduk, melindungi dan memberi serta membawa kebahagiaan, kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat. Adat ini dilaksana sebelum sesuatu aktiviti penting atau sesudah malapetaka atau kejadian tidak diingini berlaku.
PELAKSANAAN
Adat ini menggunakan piring dengan empat tahap penggunaan seperti berikut:
1.Tiga dianggap miring biasa, misalnya untuk mereka yang mendapat mimpi buruk atau apabila hendak bersawah.
2. Lima adalah untuk mendirikan rumah panjang.
3. Tujuh untuk aktiviti yang lebih berat seperti untuk berjalan atau mengembara jauh.
4. Sembilan adalah untuk peperangan.
Bagi tahap lima ke atas perlu menggunakan khinzir.
Bahan-bahan untuk persembahan antaranya ialah nasi pulut putih, nasi pulut hitam, nasi putih, nasi himpit, ayam, khinzir, tuak, sagun, rokok apung, tembakau, telur yang dimasak, sirih, pinang, garam dan minyak masak. Bahan-bahan ini diletakkan dalam piring dan mantera dibaca.
Upacara ini dimulai dengan mengorbankan seekor khinzir dan seekor ayam. Sebelum itu ayam dikibas-kibas pada tetamu atau yang diraikan. Darah dan bulu ayam diperlukan bagi melengkapkan upacara ini. Yang diraikan menuang separuh air tuak ke dalam beberapa gelas sebagai pedara dan separuh lagi mereka minum.
Pokok ranyai dihiasi dengan menggantung buah-buahnya yang berupa sumbangan makanan dan minuman untuk dicantas dan diambil oleh para penari ngajat sebagai hadiah apabila menari mengelilingi pokok itu. Beberapa biji kelapa selalunya turut digantung sama sebagai lambang kepala musuh. Para penari lelaki secara simbolik memenggal kepala musuh yang diwakili oleh buah kelapa itu.
Tarian ngajat dikata berasal daripada budaya mengayau dahulunya bila para pengayau yang berjaya dialu-alukan dengan muzik tradisi dan tari menari meraikan kejayaan itu. Paluan gong mengiringi sepanjang upacara tersebut yang melibatkan sampi (doa) tertentu dikendali oleh manang (bomoh).