ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM IBAN: ADAT KEMATIAN

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM IBAN: ADAT KEMATIAN

PENGENALAN

Adat kematian masyarakat Iban merangkumi pelbagai pantang larang dan tatacara yang telah ditetapkan. Mereka percaya bahawa jika tidak dilaksanakan seperti yang sepatutnya maka malapetaka dan nasib malang akan menimpa. Roh si mati juga dipercayai tidak tenteram.

SEMASA KEMATIAN ADAT MATI ENGGAU RABAT

Apabila berlaku kematian ahli keluarga dan saudara si mati menangis dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 minit. Dua batang alu digalang di tempuan (laluan) di hujung rumah panjang, bertujuan untuk menghalang roh si mati daripada memasuki rumah berkenaan dan membawa roh yang masih hidup ke sebayan (akhirat), yang akan mengakibatkan lebih banyak lagi kematian dalam rumah tersebut.

Mayat dibersihkan dengan air sabun yang diperbuat daripada kulit buah langgir yang telah ditumbuk. Dahi mayat ditandakan dengan tiga tanda kunyit. Rambut diminyakkan dan disikat selepas si mati dikenakan pakaian yang sebaik-baiknya mengikut ajaran Tuhan Pun-tang Raga (keturunan serapoh pada generasi lalu). Kemudian mayat dibaringkan di atas tikar rotan dan bemban di dalam bilik.

Kain pua kumbu digantung di ruai untuk membentuk sapat (pendinding), berukuran sembilan kaki persegi dan kira-kira lima kaki dari lantai. Sekiranya sapat gagal ditegakkan maka hadirin akan mudah mendapat penyakit. Kemudian mayat dibawa keluar dari bilik dan diletakkan di dalam sapat. Selepas badan mayat melepasi pintu yang memisahkan bilik dengan ruai, wanita yang paling tua dalam keluarga si mati menabur beberapa butir beras pada mayat dan membaca doa ringkas yang dipercayai dapat membawa mayat ke syurga tanpa halangan.

Setelah mayat dibaringkan dengan baik di sapat kaum wanita keluarga si mati mendahului ahli keluarga lain untuk menangis buat seketika. Biaya (harta) si mati disediakan di dalam kotak kosong yang kemudian diletak berhampiran kepala mayat. Di atas badan mayat digantung beberapa kain dipanggil baiya pandang. Api kecil dinyalakan di pendiang tempuan berdekatan kaki si mati. Api tersebut tidak boleh dipadamkan sehingga upacara pengebumian berakhir. Mayat dibiarkan selama dua hari atau lebih bagi menunggu ketibaan saudara si mati.

Mayat tidak boleh dipijak atau dilangkah kucing atau anjing kerana diipercayai akan menyebabkan roh si mati tidak tenteram dan akan sentiasa memburu orang yang masih hidup. Justeru, mayat sentiasa dijaga rapi oleh para wanita yang berumur sehingga mayat dikebumikan.

Tuai Bilek yakni ketua berbincang dengan hadirin di ruai mengenai undangan kepada kampung lain untuk menghadiri upacara kematian, bagi memudahkan keluarga si mati menyediakan keperluan upacara. Bantuan RM5.00 dihulurkan untuk menampung membeli bahan makanan. Dua orang lelaki dipilih untuk menghantar undangan, seorang ke hilir sungai dan seorang lagi ke hulu sungai. Sekiranya rumah panjang si mati tidak mempunyai tukang sabak (penyanyi lagu-lagu kematian) maka haruslah diundang dari rumah panjang lain.

Para tetamu hadir membawa bantuan seperti beras pulut, duit atau ayam. Pada pukul 6 petang tukang sabak menyanyi lagu mendayu dan perlahan. Beliau menceritakan perjalanan roh orang yang meninggal dari dunia ini ke dunia sebayan. Beliau duduk di kerusi berdekatan kepala mayat dengan sebahagian wajahnya ditutup sapu tangan. Mantera dibaca berterusan sehingga subuh, hanya berhenti untuk makan dan minum sahaja. Tukang sabak diberi upah berbentuk wang dan barangan seperti tajau (tempayan), pinggan, sedepa atau lebih, seekor ayam dan parang atau kepingan besi, bertujuan untuk memperkuatkan semangatnya serta bagi melindunginya daripada perkara-perkara yang tidak diingini semasa hayatnya.

Para tetamu dihidang makanan berat pada pukul 8 malam dan yang ringan seperti kopi dan roti pada pukul 10 malam, dan makan lewat pada pukul 2 pagi. Tetamu kehormat seperti Penghulu dan Tuai Rumah duduk sebaris dengan ahli keluarga si mati di panggau (tingkat atas ruai) sementara ahli keluarga lain duduk di kedua-dua bahagian ruai bilik si mati. Wakil keluarga si mati menyampaikan ucapan, memaklumkan sebab kematian si mati dan tempoh berkabung selama tiga bulan. Akhirnya beliau berterima kasih kepada yang sanggup menolong keluarga si mati melaksanakan upacara tersebut.

Antara pantang larang dalam tempoh berkabung ialah tidak boleh menjerit apabila melewati perkarangan rumah panjang si mati. Sebarang upacara tidak boleh diadakan namun sekiranya perlu juga maka sigi panding (denda) sebanyak RM2.00, dikenali sebagai pemampul (sebagai pendinding) dikenakan.

Ahli keluarga dan para tetamu hanya bebas bercakap mengenai pelbagai perkara selepas makan lewat berakhir.

SEMASA PENGKEBUMIAN

Sebelum fajar, iaitu kira-kira pukul 5.30 pagi, keranda dibawa ke kawasan perkuburan. Seorang lelaki berjalan di hadapan keranda membawa pelita bagi menyuluh jalan. Setiba di perkuburan seekor ayam disembelih terlebih dahulu dan darahnya dilumur di atas tanah yang akan digali sedalam enam kaki. Sedikit beras ditabur di sekeliling kubur. Keranda direndahkan ke dalam kubur bersama harta (baiya) peribadi si mati, dipercayai untuk kegunaan si mati (menoa sebayan) di dunia lain.

Kepala mayat diletakkan menghala hilir sungai. Jika si mati seorang manang (dukun) maka kepalanya menghala ke hulu sungai. Kaum Iban percaya jiwa atau roh dukun berehat selamanya di kedudukan paling tinggi Gunong Rabong yang suci, tempat Iban Menjaya Manang Raja yang pertama telah disucikan sebagai manang bali (dukun jadian). Beliau adalah adik Sengalang Burong, Tuhan peperangan.

Selesai pengkebumian suatu tanda ditanam di perkuburan si mati. Selepas itu ahli rombongan pengebumian kemudian mengisi perut dengan makanan yang telah dimasak di tebing sungai pada awal paginya.

UPACARA BERKABUNG

Kesemua penghuni rumah panjang yang lanjut usia bertandang ke bilik si mati untuk menyaksikan seorang wanita lanjut usia memakan asi pana yang dijadikan makanan korban. Biasanya asi pana ini adalah tiga mangkuk nasi hitam. Setiap mangkuk menandakan satu hari semasa penghuni tidak bekerja di luar rumah panjang. Sekiranya para penghuni bersetuju tidak bekerja selama tiga hari berlangsungnya waktu pana maka yang mengetuai upacara berkabung memakan semangkuk asi pana setiap pagi.

Bilik keluarga si mati dibiarkan gelap selama tiga hari waktu pana, bertujuan agar dunia kehidupan yang gelap akan membawa kecerahan kepada si mati. Pada pagi pana berakhir tingkap bilik keluarga si mati terlebih dahulu dilumurkan darah ayam sebelum tingkap itu dibuka dengan rasminya oleh wanita tadi. Selepas asi pana terakhir dimakan harta berharga si mati ditempatkan di dalam lengguai (kotak loyang), diikat tali rotan dan disimpan di dalam bilik semasa waktu berkabung. Kotak ini dijaga keselamatannya daripada dicapai atau diganggu kanak-kanak atau dipijak.

Sekiranya waktu berkabung tiga hari itu berlaku dalam musim menuai maka para petani boleh membayar ganti rugi sigi jabir atau pana benda sebanyak RM1.00 kepada keluarga si mati bagi membolehkan petani bekerja di sawah. Mereka yang tidak terlibat atau terikat kepada pantang berkabung boleh menolong para petani berkenaan menuai padi.

Pada waktu senja dalam masa tiga hari berkabung keluarga si mati menyalakan api di palan tungkun api berdekatan dengan tepi rumah panjang. Ini bertujuan untuk mengelak roh si mati daripada berkelana atau berkeliaran mencari makanan yang disediakan manusia.

UPACARA NGETAS ULIT

Sehari sebelum upacara ini berlangsung, setelah tamat tiga bulan berkabung, ahli keluarga mendiang menyampaikan niat menamatkan tempoh berkabung dengan mengadakan upacara ngetas ulit, kepada penghuni rumah panjang yang lain.

Saudara mara terdekat mendiang tiba pada awal pagi keesokannya dan berkumpul di bilik ahli keluarga mendiang. Kemudian seorang lelaki berpakaian pahlawan Iban membuat tiga kali jeritan apabila tiba di rumah mendiang. Jeritan itu disahut seorang lelaki di anjung bilik keluarga mendiang dengan memukul tawak. Seekor ayam diberikan kepada pahlawan tersebut yang menghayunkannya di atas kotak lengguai sambil menjampi serapah untuk merestui hadirin agar mereka hidup aman damai selepas ulit ditanggalkan.

Kemudian pahlawan melaksana upacara ngetas uli iaitu memotong rotan yang mengikat lengguai, membukanya dan mengeluarkan barangan di dalamnya. Selepas itu ahli keluarga mendiang menemui pahlawan tersebut dan memintanya memotong sedikit rambut mereka dengan pisaunya. Upah untuk membuka ulit ialah sebilah duku, satu chapak dan satu kebok. Sajian dihidangkan selepas upacara ini tamat.

UPACARA BERSERARA BUNGAI

Upacara terakhir ini diadakan lebih kurang satu atau dua bulan selepas upacara ngetas ulit, dan dikendali oleh manang (bomoh) yang mempunyai kuasa dan mampu berhubung terus dengan alam ghaib. Upacara ini adalah untuk memisahkan alam kehidupan dengan alam kematian dan mempercepatkan proses perpisahan roh si mati dengan keluarganya yang masih hidup. Jika ada ahli keluarga yang masih mengingati si mati maka ahli ini akan jatuh sakit sehingga menyebabkan kematian.

Dipercayai bahawa jika roh si mati belum dipisahkan maka roh akan terus berada di sekeliling dan akan menganggu. Roh si mati juga akan memastikan ahli keluarga membazirkan makanan kerana makanan ini akan menjadi makanan si mati dan ini menyebabkan kerugian.

Upacara ini berakhir apabila pasu tembaga milik si mati dibuka dan tangkai bunga dipotong oleh manang. Sekiranya hal ini tidak dilakukan maka keluarga si mati akan terus diganggu oleh roh si mati dan mereka akan ditimpa malapetaka yang tidak diingini.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak

Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga, 93300 Kuching, Sarawak.
Tel : 082-422006 / 082-423106
Fax : 082-244394