MI KOLOK

MI KOLOK

Dikatakan bahawa Mi Kolok dibawa masuk oleh masyarakat Cina yang berhijrah ke Sarawak. Justeru, Mi Kolok banyak dihidangkan di kedai makanan Cina. Terdapat beberapa istilah yang merujuk kepada Mi Kolok iaitu Mi Kolok (Melayu), Kampua (Cina) dan Mi Rangkai/Kering (Iban). Pada asasnya, sajian ini menggunakan Yee Mee atau mi kering yang dihidangkan bersama hirisan daging atau ayam rebus, kuah sup dan sambal.

Untuk supnya rebus daging lembu atau ayam hingga empuk bersama perencah sup, garam dan air secukupnya. Setelah masak hiris daging nipis-nipis. Ketepikan supnya dan boleh dipanaskan semula juga ditambah air jika berkurangan. Untuk sambalnya tumbuk atau kisar cili api dengan bawang putih, kemudian gaulkan bersama kicap manis dan jus limau kasturi.

Rebus mi bersama sedikit garam sehingga lembut kemudian toskan. Panaskan sedikit minyak masak, goreng hirisan bawang putih sehingga garing kemudian keluarkan. Goreng sebentar mi yang telah ditoskan menggunakan minyak bekas bawang tadi. Perasakan dengan cuka, sos ikan atau sos soya dan sedikit garam. Keluarkan dan ketepikan. Goreng hirisan daging, masukkan kicap pekat, kicap manis, serbuk lada hitam dan garam. Kacau rata dan keluarkan.

Untuk menghidang masukkan mi ke dalam pinggan hidangan dan gaulkan sedikit sambal. Taburkan daging, gorengan bawang putih dan hias dengan hirisan daun bawang. Sediakan juga semangkuk sup yang ditabur dengan daun sup untuk kuahnya.

JKKN SARAWAK

Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga,

93000 Kuching, Sarawak.
Tel : 082-422 006/423 106 Fax : 082-244 394