LAKSA SARAWAK

Laksa Sarawak sangat terkenal di Sarawak. Keunikannya terletak pada rempah khas laksa yang tidak terdapat pada sajian laksa di negeri lain. Selain rempah ini bahan-bahan asas ialah bihun, isi ayam yang telah dimasak, tauhu goreng, telur dadar, tauge, cendawan hitam, udang, telur rebus serta limau kasturi. Kuahnya diperbuat daripada campuran sambal belacan, santan, jus asam jawa, bawang putih, lengkuas dan serai.
Didihkan dua liter air bersama rempah laksa dan serai yang diketuk. Masukkan udang, santan, garam dan gula, serta sebatikan rasa. Sediakan mangkuk, masukkan bihun dan bahan-bahan laksa di atasnya. Lengkapkan dengan kuah laksa dan sambal belacan serta jus limau kasturi.