ADAT ROMBAK DAPUR BAGI WANITA SELEPAS BERSALIN

Adat Rombak Dapur adalah amalan wanita
bersalin sejak turun temurun untuk menjaga kesihatan dan melepaskan ikatan
pantang larang sepanjang tempoh berpantang iaitu 40 hari atau 44 hari.
Masyarakat memanggilnya sebagai masa berpantang atau berdiang yang membawa
maksud tempoh berehat daripada melakukan kerja-kerja harian yang memudaratkan
kesihatan ibu tersebut. Tempoh ini juga dapat mendisiplinkan ibu bersalin
dengan pengambilan makanan yang baik dan mengurus diri agar terus kekal sihat.
Berdiang atau Menyalai bagi masyarakat Terengganu ialah proses memanaskan tubuh badan, membersihkan darah kotor, melancarkan perjalanan darah dan mengecutkan peranakan. Ibu yang baru bersalin ini berbaring di atas gerai salaian atau tempat tidur yang di bawahnya diletakkan dapur bediang yang apinya daripada kayu dan arang. Kepanasan api ini amat diperlukan bagi memanaskan tubuh serta bertujuan untuk mengecutkan peranakan dan urat serta mengeluarkan darah kotor.
BAHAN-BAHAN YANG DIPERLUKAN
Bahan-bahan untuk upacara ini ialah tepung
tawar atau tepung beras, air, limau nipis, benang mentah dan pucuk kelapa atau
daun kelapa yang dianyam serta dijampi oleh bidan terlebih dahulu sebelum
digunakan. Tepung adalah untuk menawar penyakit yang ada dalam tubuh ibu
tersebut. Kesemua bahan ini digunakan untuk memandikan ibu, bayi dan segala
peralatan yang digunakan sepanjang berpantang seperti dapur bediang, gerai
salaian atau tempat tidur, tungku dan kain bengkung. Manakala dapur dan salaian
yang digunakan sepanjang tempoh berdiang akan dirombak.
UPACARA PELEPAS
Proses seterusnya ialah Upacara Pelepas.
Bahan-bahan yang digunakan ialah pucuk kelapa atau daun kelapa yang telah
dianyam dan benang mentah. Anyaman pucuk kelapa atau daun kelapa diletak di
atas kepala ibu dan ditarik diiringi dengan doa dan jampi-jampi tertentu.
Seterusnya benang mentah disarung ke kepala ibu hingga ke kaki, kemudiannya
dikeluarkan daripada badan ibu. Selesainya upacara ini bermakna berakhirnya
ikatan rasmi antara ibu dengan bidan. Mereka telah dilepaskan daripada ikatan
berpantang dan telah diberi penawar daripada segala ancaman atau angin jahat.
SIGNIFIKAN ADAT ROMBAK DAPUR
Adat ini dipercayai dapat mengelak ibu
tersebut daripada mendapat sakit-sakit badan atau sakit urat dikemudian hari.
Turut dipercayai dapat mengelak gangguan unsur-unsur jahat yang ada dalam
persekitaran sepanjang tempoh berpantang daripada datang kembali menganggu ibu
dan anak. Upacara ini juga memberi peluang secara tidak langsung kepada si ibu
untuk menghalalkan segala khidmat bidan sepanjang mengurus tubuh badan si ibu,
dan sebagai tanda terima kasih kepada bidan kerana telah mengurus ibu dan anak
sepanjang tempoh berpantang.
JANGKAUAN KE HADAPAN
Menurut salah seorang tokoh adat ini iaitu Cik
Ngah Nah yang telah melakukan kerja-kerja perbidanan selama 34 tahun, adat ini
masih boleh diamalkan walaupun bukan bidan yang menyambut kelahiran bayi dan si
ibu tidak berdiang. Sekiranya ibu yang baru bersalin dan keluar dari hospital
meminta bidan mengurus ibu tersebut dan bayinya sepanjang tempoh berpantang,
secara tidak langsung akan wujud ikatan antara bidan dengan si ibu tadi. Oleh
itu, untuk membebaskan ikatan rasmi antara bidan dan ibu tersebut maka upacara
rombak dapur atau pelepas ini perlu dilakukan.