IKAN PATIN TEMPOYAK

Masakan ini sangat popular terutama di daerah Temerloh, Pahang. Bahan utama ialah ikan patin yang dimasak bersama tempoyak, yang diperbuat daripada isi buah durian yang diasingkan bijinya, ditambah sedikit garam dan disimpan selama tiga hingga lima hari di dalam suhu bilik untuk proses penapaian.
Bahan-bahan lain ialah cili, daun kesum, bawang besar, kunyit, garam dan gula secukup rasa. Untuk penyediaannya tumbuk kesemua bahan sampai lumat, kecuali ikan, tempoyak dan daun kesum. Kemudian masukkan ke dalam periuk, tambahkan air, tempoyak, garam dan gula secukupnya. Akhir sekali masukkan ikan patin dan biarkan sehingga mendidih dan masak.