DODOL

Dodol adalah manisan tradisional yang kebiasaannya ditemui semasa Hari Raya atau majlis perkahwinan. Namun, manisan yang terkenal di Melaka dan Johor Utara ini semakin digemari dan mendapat permintaan yang tinggi di kalangan penduduk tempatan mahupun pelancong asing. Dodol diperbuat daripada tepung pulut, gula pasir, santan, gula melaka atau gula enau dan kadang-kadang dimasukkan bahan peras seperti durian. Sekiranya dodol hendak dibungkus, dodol yang sudah masak dituang ke dalam topong (bakul kecil) yang diperbuat dari mengkuang yang sudah dilayur yang dikenali sebagai 'tampin'. Dengan cara ini, dodol dapat disimpan selama satu hingga dua minggu sebelum disajikan. Dodol yang terkenal di Melaka boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan manis, dan kini amat popular dan digemari di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Sri Lanka. Bahannya ialah santan kelapa, tepung beras atau tepung pulut, gula pasir, gula melaka, jageri (yakni gula batu merah yang diperbuat daripada ekstrak tebu atau gula melaka), dan garam. Kesemua ramuan ini diadun melalui kaedah kacauan yang berlangsung berterusan selama lebih kurang tiga hingga empat jam pada suhu tinggi. Hasilnya, adunan ini berubah teksturnya menjadi melekit, tebal dan rasanya manis.Terdapat banyak versi warna dodol yang kebanyakannya perang gelap, hijau dan kuning. Rasa dodol juga turut dipelbagaikan, misalnya terdapat perisa-perisa durian, kelapa dan pisang.