CENCALUK

Cencaluk
merupakan makanan tradisional Melaka. Seperti tempoyak, cencaluk juga dimakan
bersama dengan nasi dan ulam-ulaman seperti timun, petai, jering, kacang bendi
rebus, kacang panjang dan kacang botol. Apa yang menarik, cencaluk ini tidak
perlu dimasak seperti tempoyak dan boleh dimakan mentah. Rasanya agak masin
tetapi menyelerakan dan dihidang bersama dengan perahan limau kasturi atau
lemon serta potongan bawang dan cili padi segar. Bahan-bahan untuk membuat
cencaluk terdiri dari udang geragau yang segar, garam dan air. Untuk langkah
yang pertama, udang geragau tersebut mesti dibasuh bersih dan ditapis untuk
membuang lebihan air. Kemudian, udang tersebut direndam di dalam bancuhan air
dan garam. Periuk atau pasu tanah liat biasanya digunakan untuk proses merendam
udang geragau ini. Tahap kemasinan cencaluk adalah bergantung dengan jumlah
garam yang dimasukkan semasa proses pembuatan. Oleh itu, elakkan dari meletakkan garam terlalu banyak semasa proses
pembuatan. Kini, cencaluk diproses untuk tujuan komersial dan produk cencaluk
segera yang sudah siap dicampur bahan seperti bawang dan cili juga mudah
didapati di sekitar kedai tumpuan pelancong di Melaka.