BELACAN

BELACAN

Melaka terkenal dengan produk belacannya yang unik. Lebih 16 buah gerai menjual pelbagai jenis makanan tradisional Melaka ini di sepanjang Klebang Besar hingga ke Tanjung Kling. Pelancong yang datang mengunjungi atau melawat Melaka juga cenderung menjadikan belacan sebagai buah tangan untuk dibawa balik kepada sanak saudara dan rakan-rakan. Belacan Melaka berbeza dengan belacan di negeri lain kerana dibuat dari udang geragau segar menjadikan warnanya agak pucat. Udang geragau ini ditangkap dengan menggunakan jaring khas semasa air pasang. Udang ini kemudiannya dibersihkan dari segala kekotoran seperti tanah, pasir, batu dan sebagainya. Udang yang sudah bersih akan dicampurkan dengan garam halus sehingga rata dan dijemur sehingga separa kering. Pengusaha biasanya akan mengisar udang bergaram separa kering ini sehingga separuh hancur dengan sedikit air. Ada juga yang menggunakan teknik menumbuk jika mereka tiada mesin kisar tradisional. Langkah terakhir adalah memasukkan campuran tadi ke dalam kain dan dimasukkan ke dalam bekas atau tong dan ditindih dengan pemberat untuk memadatkannya sebelum diperam selama seminggu di tempat yang sesuai. Proses menjemur, mengisar, memadat dan mengeram akan dilakukan berulang kali untuk mendapatkan hasil yang lebih halus dan cantik. Setelah pengusaha berpuas hati dengan tahap kehalusan belacan, barulah ia akan dibentukkan dan dijemur sehingga agak kering dan sesuai untuk dibuat pengreddan, dibungkus, dilabelkan dan seterusnya dipasarkan. Proses pembuatan perlulah dilakukan mengikut cara dan petua yang sesuai untuk lebih tahan lama. Secara keseluruhan, proses pembuatan belacan ini mengambil masa di antara tiga sehingga lapan minggu dan bergantung kepada jenis peralatan untuk proses pembuatan.

06-2331787

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka

Kompleks JKKN Melaka,

Lebuh Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya,


75450, Melaka