NONA BINTI OSMAN

Nona Osman atau lebih dikenali sebagai Mak
Nona dilahirkan pada 4 Januari 1947 di Kampung Pokok Mangga, Melaka. Beliau
merupakan salah seorang Tokoh Seni Budaya Negeri Melaka. Beliau juga telah
dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki. Sebelum beliau menceburi bidang
nyanyian, beliau telah berniaga sayur-sayuran di pasar berhampiran rumahnya. Beliau tidak mendapat pendidikan secara
formal, namun bakat semulajadi beliau dalam seni berbahasa pantun, khususnya
pantun spontan memang tiada tolok bandingannya. Pada awalnya, Mak Nona tidak
berminat dengan kesenian Dondang Sayang namun begitu, minat mula timbul apabila
beliau menyertai Kumpulan Kenangan Mawar Biru. Beliau sering dijemput
mengadakan persembahan nyanyian di peringkat negeri dan kebangsaan. Penglibatan
beliau dalam nyanyian Dondang Sayang bermula pada tahun 1980-an. Beliau juga
turut menyertai pertandingan Joget Asli pada tahun 1970-an.
Pada tahun 1995, beliau menyertai pertandingan Dendang Rakyat dan
telah berjaya menjadi Johan pada pertandingan tersebut. Beliau juga terlibat
dalam penghasilan album Dondang Sayang Asli dan Joget Melayu bersama Datuk
Bahrin. Beliau banyak mengadakan persembahan Dondang Sayang di dalam dan luar
negara antaranya di Indonesia, Brunei, Singapura, selain persembahan di dalam negeri
pada majlis-majlis rasmi Kerajaan Negeri dan juga dalam majlis keramaian.
Keistimewaan dan kehebatan yang ada pada Mak Nona adalah pada bait-bait pantun
spontannya. Meskipun tidak mendapat pendidikan secara formal namun keupayaan
Mak Nona dalam menyusun pantunnya penuh makna yang puitis dan sarat dengan
pesanan dan pengajaran yang berguna kepada masyarakat.