ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT MAH MERI PERKAHWINAN: HANTAR TANDA DAN MEMINANG

Kebanyakan masyarakat Mah Meri berkahwin ketika usia muda. Umur 18 tahun dianggap paling sesuai bagi lelaki manakala 16 tahun bagi perempuan dan hendaklah tidak melebihi usia kaum lelaki. Jodoh ditentukan oleh ibu bapa, begitu juga perkahwinan dilakukan oleh ibu bapa bermula daripada upacara merisik sehingga mereka menjadi pasangan suami isteri yang sah. Ada juga yang telah bertunang sejak kecil lagi. Kebiasaannya kedua-dua pengantin mempunya hubungan saudara seperti sepupu atau dua pupu atau dalam suku kaum yang sama. Tetapi, tidak menjadi kesalahan sekiranya lelaki berkahwin dengan perempuan daripada suku lain. Namun, isteri perlu mengikut suami, atau dalam kata lain isteri perlu memasuki suku kaum suami.
Kedua-dua keluarga pihak lelaki dan perempuan terlebih dahulu bertemu untuk mendapat persetujuan tentang hari penghantaran cincin tanda. Upacara penghantaran ini dilakukan oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua, dan diketuai oleh wakil ketua kampung. Dalam majlis ini juga ditetapkan hari meminang.
Upacara meminang dijalankan oleh kedua-dua belah pihak yang diwakili oleh Tok Batin atau Jenang atau Penghulu atau Jungkerah dan Penggawa sekiranya berlainan suku kaum. Mereka mengadakan perbincangan di sebuah rumah besar atau kini balai raya. Selesai upacara meminang ditetapkan pula tarikh perkahwinan iaitu kira-kira tujuh bulan, lapan bulan atau setahun daripada upacara meminang.