ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT INDIA: KEMATIAN: SELEPAS KEMATIAN

MEMBERSIHKAN RUMAH
Rumah perlu dibersihkan sebaik sahaja mayat dibawa ke tempat pembakaran. Lampu minyak dinyalakan di bekas tempat pembaringan mayat. Ahli keluarga dikehendaki mandi untuk membersihkan diri. Makanan daripada sayur-sayuran dan ikan dihidangkan. Sebaldi air diletakkan di hadapan rumah sementara lampu minyak sentiasa dinyalakan. Ahli keluarga perlu menyentuh garam dan debu suci kemudian menyapunya pada dahi sebelum memasuki rumah. Mereka juga perlu membasuh kaki menggunakan air di dalam baldi yang terletak di hadapan rumah. Pembawa periuk tanah liat dikehendaki mandi di kolam atau sungai sebagai tanda tamatnya upacara kollic catti.
MENGUMPUL ABU MAYAT
Abu mayat dikumpulkan keesokan harinya. Susu terlebih dahulu disiram pada abu mayat untuk menyejukkan bara api. Abu di bahagian kepala dan daripada bahagian badan yang lain dimasukkan ke dalam periuk yang berasingan. Abu mayat sama ada ditanam atau dimasukkan ke dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut. Upacara sembahyang dilakukan oleh ahli keluarga si mati.
BERKABUNG
Tempoh berkabung selama lapan atau 16 hari selepas kematian. Selepas tempoh berkabung lapan hari saudara dan sahabat handai berkumpul di rumah si mati dengan membawa juadah tradisional seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Gambar atau potret si mati diletakkan di atas almari atau dinding kemudian dikalungkan dengan karangan bunga. Di sisi gambar tersebut dinyalakan lampu minyak bersama taburan pelbagai jenis bunga. Upacara sembahnyang dimulakan dengan meminta Tuhan supaya melindungi si mati. Lagu-lagu suci turut dimainkan. Para tetamu kemudian dihidangkan makanan.
Berkabung pada hari ke 16 dipanggil karumaati iaitu hari bersembahyang. Khemah yang lengkap didirikan, sementara potret si mati dihias cantik. Pedanda atau Tok Sami dijemput untuk mengendali upacara sembahnyang. Batu-bata diikat dengan benang dan dibalut kain merah untuk dimasukkan ke dalam periuk, kemudian dibasahkan dengan air, susu, air kelapa muda dan air mawar.
Upacara kal niruttutal ini dilakukan sebanyak tiga kali bermula pada jam 11 malam. Kali kedua pada jam 12 tengah malam dan terakhir pada awal pagi keesokannya. Lagu-lagu suci dimainkan sepanjang upacara ini. Pedanda membentuk replika keranda daripada rumput. Dengan iringan mantera dan doa rumput tersebut dibakar bertujuan agar roh si mati sentiasa tenang. Selesai upacara ini pendanda dibayar upah dalam bentuk wang, sayur-sayuran dan buah-buahan.