ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT INDIA: KEMATIAN: MENGURUS MAYAT

KEMATIAN
Masyarakat India mempercayai konsep kelahiran semula bahawa kematian adalah ibarat tidur dan mereka akan bangun selepas tidur. Sarjana India juga menyatakan kematian adalah perpisahan roh dan jasad dan jasad akan hancur tetapi roh kembali ke alam barzakh. Mayat masyarakat India dibakar atau dikebumikan.
MENGURUS MAYAT
Mayat si mati diletakkan di ruang tamu. Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan. Lampu minyak atau kaamaatci amman vilakku dinyalakan, sebiji kelapa dibelah dua dan sirih pinang diletak berhampiran mayat. Kemenyan dan kapur barus diasap sebagai simbol ketenangan jiwa. Serbuk suci atau tiruniiru disapu pada dahi si mati sebelum upacara sembahyang. Sepanjang berada di rumah mayat perlu dijaga sebaiknya.
Ibu jari tangan dan kaki diikat dengan kain putih dan tangan diletakkan di atas dada. Mata ditutup rapat dan disapu kunyit untuk membunuh kuman kemudian dibalut dengan kain. Sirih pinang yang telah ditumbuk dimasukkan ke dalam mulut kemudian dibalut dengan kain, manakala lubang hidung disumbat dengan kapas. Duit syiling diletak di atas dahi. Air mawar direnjis pada mayat kemudian mayat diasapkan dengan kemenyan yang dibakar supaya mayat tidak berbau. Untuk menunjukkan kesedihan para keluarga gambar-gambar yang tergantung diterbalikkan manakala barangan perhiasan dibawa keluar dari ruang tamu.
UPACARA VAAIKKARISI
Selepas dimandikan dan dihias dengan cantik mayat dimasukkan ke dalam keranda bersama kapur barus supaya mayat tidak berbau. Sedikit beras dimasukkan ke dalam mulut si mati sebagai tanda pemberian terakhir, dan inilah yang dinamakan vaaikkarisi.
KOLLIC CATTI
Kollic catti bermaksud periuk tanah liat yang mengandungi api. Periuk tersebut diangkat menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk yang dibawa oleh ahli keluarga si mati sama ada anak atau pun bapa. Seseorang yang membawanya perlu mengiringi mayat. Lagu-lagu suci dimainkan hingga ke tempat pembakaran.
PEMBAKARAN
Keranda diusung ke tempat pembakaran menggunakan pengusung. Setiba di sana pembawa pengusung perlu membayar duit kepada penyelenggara sebagai upah menyediakan tempat pembakaran. Keranda digerakkan beberapa kali menghampiri tempat pembakaran bermula dengan mengubah posisi bahagian kaki dan kemudian bahagian kepala. Ini dipercayai membolehkan si mati berada di dalam perut Dewi Bumi.
Tempat pembakaran diisi dengan kayu api dan mayat diletak diatasnya, ditutup semula dengan selapisan lagi kayu api dan tahi lembu kering serta di renjis minyak pembakar. Duit syiling dimasukkan ke dalam dhoti sebagai tanda keizinan mayat untuk dibakar. Upacara sembahyang dimulakan. Pembawa kollic catti mengelilingi mayat tiga kali mengikut arah jam. Pada pusingan ketiga mereka berada di hadapan mayat dan duduk melutut tetapi tidak menghadap mayat. Tiga batang kayu yang menyala dicucukkan ke tanah satu persatu. Upacara ini bertujuan mengurangkan kesedihan keluarga si mati.