ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT INDIA KELAHIRAN: BERSALIN

MEMBISIKKAN NAMA TUHAN
Sebaik sahaja bayi dilahirkan sami Hindu membisikkan gayatri mantiram iaitu mantera Tuhan ke telinga bayi sebelum tali pusat dipotong. Tindakan ini adalah untuk membolehkan bayi tadi mendengar nama Tuhan sebelum mendengar apa-apa yang lain, dan juga untuk memberi rahmat kepada bayi tersebut. Bagaimanapun, adat ini boleh disesuaikan dengan keadaan semasa dengan hanya membisikkannya sebaik sahaja melihat bayi berkenaan jika tidak dapat berada di dalam bilik bersalin..
TALI PUSAT
Tali pusat yag dipotong ditanam bersama uri di sekitar kawasan rumah bersama duit tembaga, serbuk kunyit, garam dan pinang. Bahan-bahan ini adalah untuk mengelak daripada uri berkenaan dikorek oleh binatang liar atau digunakan oleh ahli sihir.
MENYAPU MADU
Bayi yang baru dilahirkan disapu madu bercampur minyak sapi pada lidahnya. Madu dikatakan dapat melembutkan lidah bayi dan memudahkan bayi bertutur. Minyak savvennai yakni campuran minyak bijan, minyak lenga dan mambu juga boleh digunakan. Tindakan ini dipercayai boleh memberi kecantikan pada bayi dan bayi tidak diserang sebarang penyakit. Setitik minyak bijan yang dicampur dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi bertindak menjadi pelawas dalam penghadaman dan membantu tumbesaran bayi.