ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT CINA: SELEPAS KELAHIRAN - KENDURI, MENCUKUR RAMBUT & MEMBERI NAMA

ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT CINA: SELEPAS KELAHIRAN - KENDURI, MENCUKUR RAMBUT & MEMBERI NAMA


PENGENALAN

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga turut mengadakan kenduri apabila bayi mencapai umur sebulan. Kuih khas berbentuk bulat berwarna merah dan kuning berintikan kacang dan tausu, serta telur yang diwarnai merah diberikan kepada saudara mara terdekat. Mereka yang mendapat kuih dan telur ini membalasnya dengan membawa hadiah berupa pakaian bayi dan pati ayam untuk si ibu.

Upacara mencukur rambut bayi dijalankan kerana masyarakat Cina beranggapan bahawa rambut bayi yang dilahirkan adalah rambut sementara. Rambut yang tumbuh semasa dalam kandungan perlu dicukur untuk pertumbuhan rambut baru. Adat ini sebagai pengiktirafan terhadap kelahiran orang baru ke dalam masyarakat.

Pemilihan nama bayi yang baru lahir menjadi keutamaan dalam kalangan masyarakat Cina. Nama mereka terdiri daripada tiga (3) perkataan yang dimulai dengan nama keluarga. Patah kata kedua mewakili nama segenerasi dalam kalangan adik-beradik dan sanak-saudara. Nama ketiga pula merupakan nama bagi panggilan diri sendiri. Sistem nama yang baik perlu mengambil kira makna, unsur Yin dan Yang serta dibuat mengikut perhitungan matematik Cina.

Terdapat lima aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam memberi nama bayi yang baru lahir iaitu:-

1. Nama yang diberi haruslah mengandungi maksud yang baik seperti lambang kekayaan, kemewahan dan kesejahteraan.
2.Bunyi nama mestilah elok didengar.
3. Nama mestilah dibuat berdasarkan kiraan matematik iaitu angka yang terhasil tidak bertentangan dan sebaiknya sepadan.
4. Nama yang diberikan patut mempunyai timbangan unsur Yin dan Yang yang sama berat.
5. Nama mestilah mempunyai lima unsur, iaitu emas, air, api, tanah dan kayu serta saling melengkapi

Justeru, nama seseorang bayi harus disusun secara seimbang yang mengandungi unsur Yin dan Yang. Kegagalan memberikan nama yang baik juga akan mempengaruhi perjalanan hidup seseorang, sama ada ditimpa kecelakaan atau mendapat kesejahteraan. Kerumitan masyarakat Cina memilih nama yang sesuai untuk bayi kadangkala menyebabkan mereka mengambil masa yang agak lama, khususnya bagi mereka yang masih terikat dengan adat dan terpaksa merujuk kepada kitab tertentu.

JKKN Selangor

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor

Tingkat 6, Menara Korporat,

Kompleks IDCC Shah Alam,

Jalan Pahat L 15/L, Seksyen 15

40200 Shah Alam

SELANGOR DARUL EHSAN

Telefon        :   03- 5543 1654