ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT CINA: PERKAHWINAN - MAJLIS PERKAHWINAN

PERINGKAT MAJLIS PERKAHWINAN
Majlis perkahwinan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua pihak lelaki dan perempuan. Sebelum tiba hari tersebut, sekiranya terdapat kematian dalam kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan hingga tahun hadapan ataupun selama 100 hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung.
Pada hari perkahwinan kedua pengantin dihias indah. Dahulunya masyarakat Cina memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera disulam benang emas. Setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya berwarna putih, merah atau kuning. Dilarang memakai baju berwarna hitam, biru atau kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.
Pengantin lelaki bertandang ke rumah pengantin perempuan dan mereka didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu, diiringi pengiring masing-masing. Itulah kali pertama mereka duduk bersama. Selepas acara bersanding pasangan pengantin dibawa bertemu ahli keluarga dan saudara mara kedua-dua pihak, bertujuan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing.
Upacara tradisi masyarakat Cina iaitu meminum teh membawa maksud tersendiri dan sangat penting serta masih diamalkan. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami, di samping bertujuan megeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Adat bersanding dan upacara minum teh ini sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.
Kemuncak upacara perkahwinan ialah jamuan makan malam secara besar-besaran sama ada di rumah, dewan atau restoran. Para tetamu membawa Ang-Pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga pasangan. Sebagai bukti perkahwinan, kedua pengantin menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa saksi.
Hari ini masyarakat Cina lebih cenderung memilih jenis perkahwinan sivil iaitu dengan mendaftarkan perkahwinan di gereja bagi mereka yang beragama Kristian.