KUIH BUGIS MANDI

Kuih Bugis Mandi, juga dikenali sebagai Kuih Puteri Berendam, berintikan kelapa parut dan dihidang dengan kuah santan. Bahan-bahan bagi bebola kuih adalah tepung pulut, tepung sagu, santan cair, pewarna makanan, dan garam secukupnya. Untuk inti bahan-bahan ialah gula pasir, gula merah, tepung gandum, kelapa parut dan air, serta garam secukup rasa.
Untuk membuat intinya masak gula dengan air hingga pekat, masukkan kelapa parut, tepung gandum dan garam. Kacau hingga campuran ini sedikit kering.
Untuk membuat bebola kuih satukan tepung pulut, tepung sagu dan garam, digaul bersama santan cair sedikit demi sedikit hingga menjadi doh. Bahagikan doh menjadi beberapa bahagian dan warnakan mengikut citarasa sendiri. Leperkan sedikit doh, letak sedikit inti kelapa kemudian doh dibulatkan menjadi bebola. Untuk memasaknya masukkan bebola ke dalam air yang sedang mendidih. Bebola telah masak apabila ia terapung. Angkat dan toskan. Untuk kuah santan masak tepung beras, santan, garam serta daun pandan hingga mendidih. Kemudian tuangkan kuah santan ke atas bebola kuih. Hidangkan setelah sajian sejuk.